Ahad, 2 Ogos 2015

KARANGAN CEREKA

Setiap insan pasti melakukan kesilapan dalam hidup. Tulis sebuah cerita yang bertemakan keinsafan. 


     Amran termenung di jendela bilik tidurnya. Matanya terpandang pada anak - anak jirannya yang sedang girang bermain di taman permainan berhampiran dengan banglonya itu. Fikirannya melayang jauh dan teringat kembali peristiwa lalu yang terjadi pada dirinya dua tahun lalu. Hidup pada peristiwa lalunya diselubingi dengan dosa. Cara hidupnya dahulu penuh dengan dosa dan noda.

     Amran merupakan seorang ahli perniagaan yang kaya. Harta kekayaannya telah menyebabkan dirinya lupa tentang suruhan agama. Amran hanya tahu untuk bersuka ria selepas kerja. Amran selalu pergi ke kelab malam dan berfoya - foya. Amran juga selalu berzina dengan pelacur yang disediakan di kelab malam dan meminum minuman keras. Dia tidak pernah memikirkan langsung tentang dosa dan azab yang menantinya di akhirat kelak. Amran juga menerima rasuah di syarikatnya apabila dia diminta untuk meluluskan sesuatu projek. Pada setiap malam, Amran akan pulang lambat ke rumah. Ibunya selalu bertanya kepadanya, " Amran balik lambat lagi hari ini. Amran ke mana sehingga lewat pulang ke rumah begini ? Hampir setiap hari Amran pulang lambat. " Namun Amran hanya menjawab, " Ibu, Amran pergi jumpa kawanlah ! Ibu jangan sibuklah ". Ibu Amran hanya mendengar jawapan yang sama sahaja setiap hari tetapi ibunya tahu dia pergi kelab malam setiap hari. Oleh itu, ibunya sentiasa berdoa kepada Yang Maha Esa agar anaknya itu diberikan hidayah.

     Pada suatu hari, Amran tidak pergi ke kelab malam. Dia cuma terasa perutnya lapar sahaja . Oleh itu, selepas kerja, dia pergi ke sebuah restoran yang terletak di bandar. Dia memesan banyak makanan pada malam itu. Dia juga membungkus sedikit makanan untuk dibawa pulang ke rumah. Setelah selesai menikmati makanannya di restoran itu, dia pun pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, seorang budak kecil telah menahan keretanya untuk meminta sedekah. Budak kecil itu sungguh busuk dan kotor. Dia tidak mempedulikan budak kecil tersebut malah dia cuba menghalau budak tersebut. Budak kecil itu secara tiba - tiba ghaib. Amran berasa sangat pelik pada malam itu. 

     Kemudian, Amran memandu kereta semula. Namun sekali lagi dia melihat kelibat budak kecil itu.  Namun pada kali ini, budak kecil tersebut memakai baju yang bersih dan kemas. Dia berasa pelik bagaimana budak kecil itu boleh berpakaian kemas sedangkan baru sahaja dilihatnya memakai baju yang kotor dan busuk. Oleh itu, Amran pun mengikut budak kecil itu namun sekali lagi budak itu hilang begitu sahaja.

     Tanpa disedarinya, dia sudah berada di hadapan sebuah surau. Dia terpaku apabila berdiri di hadapan surau tersebut. Kemudian, seorang lelaki yang turut ke surau itu menegurnya. Lelaki tersebut mengajaknya untuk sembahyang secara berjemaah di dalam surau. Sepanjang Amran hidup inilah kali pertama dia menunaikan sembahyang. Dia berasa insaf dan bersalah kerana selama ini dia tidak pernah menunaikan perkara wajib yang dituntut dalam agama Islam. 

     Kini, Amran berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah atas hidayah yang diterima olehnya. Dia berasa gembira kerana dia masih lagi mampu untuk memperbaiki kesilapannya pada masa yang lalu. Amran kini sudah beristeri dan mempunyai seorang anak. Amran tinggal bersama - sama dengan ibunya dan hidup bahagia.

KARANGAN SURAT KIRIMAN RASMI

Masalah sampah sarap yang sering tidak dipungut beberapa hari di kawasan anda mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk. Sebagai setiausaha penduduk, anda dikehendaki menulis surat aduan tentang masalah yang kerap berlaku.


NO. 70, Lorong A13,
Taman Maju Jaya,
75324 Seremban,
Negeri Sembilan.
_________________________________________________________________________________

Pegawai Majlis Perbandaran Seremban,
Peti Surat 36457,
75400 Seremban,
Negeri Sembilan.                                                                                            02 OGOS 2015


Tuan,

Masalah Sampah Sarap yang Sering Tidak Dipungut

Merujuk perkara di atas, saya selaku setiausaha mewakili penduduk Taman Maju Jaya ingin membuat aduan tentang masalah sampah - sarap yang sering tidak dipungut. Sampah - sarap yang dipungut di kawasan perumahan ini kebiasaannya mengikut jadual, namun sampah - sarap ini sering tidak dipungut beberapa hari sejak setahun yang lalu.

2.    Salah satu masalah yang penduduk taman ini hadapi ialah masalah pencemaran bau. Masalah ini memberi impak kepada aktiviti harian penduduk. Aktiviti riadah terpaksa tidak dijalankan kerana terganggu dengan masalah bau. Keselesaan di rumah juga terjejas seperti ketika menyediakan hidangan dan ketika makan. Secara keseluruhannya, masalah bau ini sangat memberi kesan kepada penduduk jika tidak ditangani segera.

3.    Selain itu, sampah - sarap yang sering tidak dipungut telah menimbulkan masalah keselamatan. Anjing liar yang terdapat di taman perumahan ini sering menimbulkan masalah kerana sampah - sarap yang sering tidak dipungut akan berhamburan. Ini menyebabkan keselamatan penduduk terancam apabila melakukan aktiviti di luar rumah dengan kehadiran anjing liar. Penduduk Taman Maju Jaya amat berharap masalah ini dapat dibendung dengan segera.

4.    Sehubungan dengan itu, sampah - sarap yang sering tidak dipungut akan mengundang pelbagai penyakit di taman perumahan ini. Haiwan seperti tikus dan lalat membawa masalah kepada para penduduk di taman perumahan ini. Penduduk sering risau mengenai perkara ini kerana boleh mengundang kepada pelbagai penyakit seperti penyakit kencing tikus yang boleh membawa maut dan keracunan makanan.

5.    Saya berharap pihak tuan dapat memberikan kerjasama dan membuat pemantauan di kawasan taman perumahan ini. Kami juga berharap agar masalah sampah - sarap yang sering tidak dipungut ini boleh diuruskan oleh pihak tuan dengan segera.

Kerjasama dan maklum balas daripada pihak tuan amat saya alu - alukan dan diucapkan berbanyak - banyak terima kasih.



Yang Benar,

    Sahfirah ....

( NURSAHFIRAH BINTI SAPRI )

Wakil Penduduk,
Taman Maju Jaya.