KARANGAN BERDASARKAN GAMBAR RAJAH
Berdasarkan gambar rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang kesan - kesan penggunaan telefon bimbit dalam golongan remaja. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.Kebanyakan remaja kini memiliki telefon bimbit. Bagi mereka, telefon bimbit merupakan barang keperluan yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan mereka. Namun demikian, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja dapat mengundang kesan baik dan buruk.
Dengan adanya telefon bimbit, remaja dapat menghantar sesuatu maklumat melalui khidmat pesanan ringkas ( sms ) kepada ibu bapa, keluarga, sahabat handai dan sebagainya atau sebaliknya. Penggunaan khidmat pesanan ringkas memberikan kebaikan kepada remaja kerana dapat menghantar maklumat yang penting, terutama hal kecemasan dengan cepat. Hal ini juga menjimatkan perbelanjaan menambah nilai kredit kad prabayar mereka kerana caj penghantaran pesanan lebih murah berbanding dengan dail terus.
Bersesuaian dengan jiwa remaja, telefon bimbit juga menjadi alat hiburan kepada mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan telefon bimbit kini mempunyai fungsi radio, pemain muzik, pembesar suara, pembesar suara stereo dengan bunyi keliling dan kekunci muzik khas. Remaja boleh memuat turun seberapa banyak lagu dan gambar yang diminati. Oleh itu, remaja tidak terdorong untuk berhibur di pusat hibuaran dan seterusnya terhindar daripada terjebak dalam gejala sosial.
Telefon bimbit turut memberikan kesan negatif jika para remaja tidak bijak menggunakannya terutama bagi mereka yang masih belajar. Penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan akan meningkatkan jumlah bil yang terpaksa dilunaskan. Bagi remaja yang menggunakan kad prabayar pula, lebih banyak wang yang akan digunakan untuk menambah nilai kad tersebut. Hal ini membazirkan wang dan masa hanya untuk berbual - bual. Alangkah baiknya sekiranya wang dan masa mereka digunakan untuk membeli atau membaca buku kerana " masa itu emas ".
Kecanggihan teknologi membolehkan telefon bimbit kini berfungsi sebagai kamera dan video yang memudahkan penghantaran dan penerimaan gambar serta rakaman video. Remaja bakal terjebak dalam gejala tidak sihat sekiranya kemudahan ini disalahgunakan untuk menghantar dan menerima gambar dan rakaman video lucah.
Secara tuntasnya, ibu bapa perlulah memantau anak - anak mereka agar tidak menyalahgunakan telefon bimbit. Remaja pula perlulah memanfaatkan penggunaan telefon bimbit agar tidak silap langkah dalam dunia teknologi maklumat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan