Ahad, 13 November 2016

KARANGAN CERAMAH

Sempena sambutan Hari Pengguna Malaysia di sebuah sekolah, anda selaku pegawai daripada Persatuan Pengguna Negeri telah diundang untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk " Pengguna Bijak Dapat Menangani Kenaikan Harga Barangan " kepada semua pelajar. 

Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.


   Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort, Encik Abd Samad bin Jumat, yang dihormati Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, guru - guru dan pelajar yang dikasihi sekalian. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian pihak sekolah mengundang saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk " Pengguna Bijak Dapat Menangani Kenaikan Harga Barangan " pada hari yang bertuah ini dan di dalam yang serba indah ini. 

Sidang dewan yang dihormati, 

   Inflasi ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kenaikan harga barangan yang tinggi yang disebabkan oleh kuasa beli rakyat yang bertambah. Berdasarkan Belanjawan 2008, inflasi di negara kita kini mencecah 8.1 peratus. Hal yang demikian ini sudah tentu akan membebankan rakyat, khususnya yang hidupnya umpama " kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ". Sehubungan dengan ini, kita haruslah menjadi pengguna yang bijak dengan melaksanakan beberapa langkah untuk menangani kenaikan harga barangan dalam pasaran. Tindakan secara kolektif, berterusan dan bersungguh - sungguh nescaya dapat menyelesaikan perkara ini.

   Pengguna yang bijak perlu melaksanakan beberapa amalan sewaktu berbelanja. Amalan yang pertama ialah pengguna membuat senarai barangan yang hendak dibeli sebelum keluar membeli - belah. Oleh hal yang demikian pengguna dapat berjimat cermat dengan membeli barangan yang diperlukan sahaja. Setelah itu, pengguna bijak memilih barangan yang berkualiti sahaja, iaitu barangan yang tidak mudah rosak supaya penggunaan tersebut berpanjangan sekali gus memuaskan hati pengguna. Pengguna bijak yang seterusnya akan membuat perbandingan harga bagi barangan yang sama jenis untuk memilih harga yang paling murah dan berpatutan. Tidak dinafikan bahawa terdapat peniaga yang " menangguk di air keruh " , oleh itu pengguna bijak haruslah membeli barangan setelah tawar - menawar harga dengan peniaga.

   Selain bijak berbelanja, pengguna juga haruslah bijak pakai. Hal ini bermakna pengguna mengamalkan beberapa langkah dalam pemilihan pakaian. Antaranya ialah pengguna tidak terlalu terpengaruh oleh fesyen terkini kerana pakaian yang bercirikan fesyen terbaharu lebih mahal harganya. Janganlah hanya membeli pakaian berjenama semata - mata untuk kelihatan bergaya kerana " ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta" . Di samping itu, pengguna bijak juga haruslah kreatif dengan mengitar pakaian lama semula, misalnya mengubah suai pakaian sedia ada, membuat cadar atau selimut daripada pakaian lama, membaiki tapak kasut yang tertanggal dan sebagainya.

Pelajar - pelajar yang dikasihi,

   Mereka yang bergelar pengguna bijak turut mengamalkan bijak makan. Antaranya mereka tidak membeli sayur dan buah - buahan tempatan, sebaliknya menanam sayur dan buah - buahan tersebut di kawasan rumah. Selain mengutamakan buah - buahan tempatan daripada buah import, pengguna bijak juga makan buah - buahan tempatan pada musimya. Hal ini demikian kerana harga buah - buahan tempatan pada waktu itu lebih rendah memandangkan jumlahnya banyak. Sebagai pelajar atau pekerja, pengguna bijak memilih untuk membawa bekalan ke sekolah atau tempat kerja, di samping mengehadkan amalan makan di luar, sebaliknya memasak makanan sendiri di rumah. 

   Ciri pengguna bijak yang lain ialah bijak guna tenaga, iaitu elektrik dan air. Amalan menutup suis lampu, kipas angin dan pendingin udara apabila tidak digunakan dapat mengurangkan tahap penggunaan elektrik dan sekali gus menjimatkan sejumlah wang setiap bulan untuk membayar bil elektrik. Penggunaan mentol dan lampu jimat tenaga berupaya untuk menjimatkan penggunaan tenaga hingga 80 peratus manakala peti sejuk yang mempunyai tenaga cekap dapat menjimatkan kos elektrik sehingga 25 peratus. Antara kaedah yang dilakukan oleh pengguna bijak untuk menjimatkan penggunaan air adalah dengan sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap sistem paip dalaman di rumah untuk mengelakkan sebarang kebocoran, menggunakan air tadahan hujan untuk kegunaan di garaj, di taman dan curahan tandas simbah dan lain - lain.

   Selain itu, tindakan bijak berhibur atau bercuti juga termasuk dalam tindakan pengguna bijak. Sahabat handai atau sanak saudara yang datang ke rumah tidak perlu dibawa makan di restoran, sebaliknya dilayan di dalam rumah sahaja dengan menyajikan hidangan yang dimasak sendiri. Aktiviti melancong pula dilakukan di dalam negara dan di luar waktu puncak, iaitu bukan pada masa cuti sekolah atau perayaan kerana kos penginapan dan membeli - belah lebih murah. Perkhidmatan pengangkutan yang paling murah lebih sesuai dipraktikkan ketika melancong. 

Hadirin sekalian, 

   Demi menjadi pengguna bijak, pepatah " ingat sebelum kena, jimat sebelum habis " perlu dijadikan pegangan dalam kehidupan kita. Inflasi yang tidak terkawal bukan sahaja memberikan kesan kepada kita sebagai rakyat, malahan ekonomi negara juga terjejas. Sebelum berundur, sukacita saya ingin mengingatkan pelajar sekalian agar menjadi pengguna bijak walau di mana - mana pun anda berada. Saya berharap agar ceramah ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan