Jumaat, 18 November 2016

KARANGAN BAHAGIAN B

Tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.
 
Pengabaian warga emas dalam kalangan keluarga dan masyarakat merupakan cabaran sosial yang sedang melanda sistem kekeluargaan pada masa kini. Bincangkan.

     Pengabaian warga emas dalam kalangan keluarga dan masyarakat merupakan cabaran sosial yang sedang melanda sistem kekeluargaan pada masa kini. Warga emas yang berada di sekeliling kita patutlah dihormati dan dijaga dengan baik. Warga emas yang paling dekat dalam hidup kita ialah ibu bapa kita sendiri. Dalam institusi kekeluargaan, siapakah warga emas pada diri kita ? Inilah persoalan yang patut dibangkitkan oleh segenap masyarakat yang masih mementingkan golongan warga emas. 

     Negara Malaysia sepatutnya menjadi contoh dan ikutan di seluruh dunia dalam mengatasi masalah pengabaian warga emas, namun terdapat pelbagai faktor yang menghalang negara kita untuk mengatasi masalah ini. Faktor yang menghalang negara kita untuk mengatasi masalah ini ialah sikap golongan muda yang tidak mementingkan warga emas. Warga emas yang paling dekat dalam keluarga kita ialah ibu bapa dan nenek serta datuk kita sendiri. Anak - anak mahupun cucu yang telah berhijrah ke bandar untuk mencari sesuap nasi lazimnya tidak pulang ke kampung untuk menziarahi warga emas. Jika sikap sebegini diketahui oleh negara - negara luar, sudah tentu negara kita akan dipandang hina di mata dunia. Kita sebagai anak dan cucu perlu sentiasa menjenguk dan menziarahi warga emas di kampung agar mereka tidak merasakan diri mereka tersisih. 

     Selain itu, anak - anak dan cucu yang tinggal di bandar kebiasaannya sibuk bekerja sehingga mereka tidak mempunyai kesempatan untuk pulang ke kampung. Sekiranya mereka tidak mempunyai kesempatan masa untuk pulang ke kampung halaman, mereka boleh mengirim wang untuk dijadikan sebagai perbelanjaan di kampung. Namun, sikap golongan muda kini bukan sahaja tidak dapat menjenguk warga emas di kampung halaman, malahan tidak mengirim duit ke kampung. Sikap sebegini boleh diibaratkan dengan peribahasa " bagai kacang melupakan kulit ".

     Di samping itu, anak - anak juga tidak mempedulikan kebajikan warga emas di kampung halaman. Mereka tidak mengendahkan nasib warga emas terutamanya warga emas yang mempunyai penyakit. Sekiranya warga emas di kampung menelefon anak - anak, belum tentu anak - anak akan pulang ke kampung bagi menziarahi warga emas yang sakit tenat. Bagi golongan muda, mereka beranggapan bahawa warga emas hanya menyusahkan hidup mereka kerana tidak mampu menjaga diri di kampung.

     Sebenarnya, pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah pengabaian warga emas ini. Salah satu langkah ialah menguar - uarkan kepentingan warga emas dalam kehidupan kita. Langkah ini akan membantu sedikit sebanyak untuk memberi kesedaran kepada golongan muda yang bertindak mengabaikan warga emas. Selain itu, kempen besar - besaran juga boleh diadakan untuk memastikan golongan muda akan lebih mengingati jasa dan pengorbanan warga emas. 

     Seterusnya, negara kita juga digalakkan untuk mengadakan dan menyambut " Hari Warga Emas " dan " Hari Keluarga " bersama - sama ahli keluarga dan warga emas. Anak - anak boleh membawa ahli keluarga ke program sebegini untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Di samping itu, anak - anak juga boleh memberi hadiah kepada warga emas sekiranya pada hari - hari istimewa seperti hari jadi, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Warga Emas dan sebagainya. Hal ini boleh memberi kebahagiaan kepada warga emas dan mereka berasa dihargai walaupun usia mereka sudah lanjut.

     Konklusinya, kita harus menghargai dan mentaati golongan warga emas selagi mereka masih ada di dunia ini. Kita sebagai golongan muda harus memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka agar kita tidak menyesal di kemudian hari setelah mereka meninggal dunia, bak kata peribahasa " sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna ". 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan