Ahad, 20 November 2016

KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN

Berdasarkan gambar rajah di bawah, huraikan pendapat tentang langkah - langkah menjaga keselamatan kanak - kanak. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 




     Dunia kanak – kanak yang menyeronokkan sedikit sebanyak telah terbatas akibat kes penculikan yang semakin menular di negara kita. Hal ini kerana, setiap ibu bapa berasa bimbang tentang kes kehilangan kanak – kanak yang kian berleluasa sejak akhir – akhir ini terutamanya melibatkan kes penculikan. Apabila kanak – kanak tidak diawasi oleh orang dewasa, mereka akan diculik dengan mudah oleh penjenayah dan tidak guna untuk menyesal di kemudian hari kerana bak kata pepatah, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Sebenarnya, pelbagai langkah yang boleh diambil untuk menjaga keselamatan kanak – kanak.      


     Salah satu langkah bagi menjaga keselamatan kanak – kanak ialah mengawasi anak – anak di tempat awam bagi mengelakkan penculikan dan pemerdagangan kanak – kanak. Ibu bapa disarankan untuk sentiasa memimpin tangan anak – anak ketika berada di luar rumah terutamanya apabila berada di kompleks membeli – belah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Ibu bapa juga perlu menemani anak – anak ketika bermain di luar rumah dan jangan terlalu leka dengan apapun barang ketika sedang membeli – belah. Sebagai contoh, kebanyakan kes penculikan yang semakin menular di negara kita adalah berpunca daripada kelalaian ibu bapa dan seterusnya memberikan peluang kepada penjenayah untuk melarikan kanak – kanak. Jika ibu bapa sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling , kes penculikan di negara kita akan mencapai penurunan yang sangat baik dari semasa ke semasa.   


     Selain itu, penculikan dan pemerdagangan kanak – kanak juga boleh dibendung apabila kanak – kanak sentiasa berada dalam kumpulan kerana kes penculikan biasanya berlaku apabila kanak – kanak berada di luar rumah secara bersendirian. Ibu bapa perlu sentiasa menasihati anak – anak agar bermain secara berkumpulan di taman permainan dan berjalan – jalan di sekitar taman perumahan bersama rakan – rakan sebaya. Kes penculikan boleh berlaku di mana – mana sahaja kerana penjenayah seumpama musang berbulu ayam sentiasa menunggu peluang yang ada untuk menculik kanak – kanak yang mempunyai sifat lurus dan mudah mempercayai sesiapa sahaja.   

      Di samping itu, kanak – kanak juga perlu mempelajari ilmu pertahanan diri agar tidak mudah diculik oleh penjenayah yang mahu menjual kanak – kanak ke negara jiran untuk mendapatkan wang atau meminta wang tebusan daripada ahli keluarga kanak – kanak tersebut. Ibu bapa disarankan untuk menghantar anak – anak ke pusat pembelajaran yang menawarkan pakej mempelajari ilmu pertahanan diri agar keselamatan anak - anak sedikit sebanyak dapat dijamin ketika berada di luar rumah. Sebagai contoh, sesetengah kanak - kanak yang mempelajari ilmu pertahanan diri tidak berisiko tinggi untuk diculik. Kanak - kanak yang mempelajari ilmu pertahanan diri dapat melindungi diri sendiri daripada diculik.

     Konklusinya, semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing - masing dalam membanteras jenayah sebegini agar kanak - kanak yang dianugerahkan oleh Tuhan dapat hidup dengan selamat dan terjamin keselamatannya bagi memperjuangkan nusa dan bangsa kelak.

1 ulasan: