Jumaat, 18 November 2016

KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN

Berdasarkan gambar rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang cara - cara meningkatkan amalan membaca dalam kalangan murid. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 

     Amalan membaca merupakan amalan yang terpuji kerana membaca dianggap sebagai jambatan untuk menimba ilmu. Amalan membaca ini memberikan manfaat kepada semua golongan tidak kira sama ada tua mahupun muda. Membaca dapat meningkatkan diri dalam bidang ilmu terutamanya bagi para pelajar, namun sesetengah pelajar beranggapan bahawa amalan membaca merupakan aktiviti yang membosankan.

     Sebenarnya, terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan amalan membaca dalam kalangan murid, antaranya ialah mewujudkan perpustakaan mini. Pihak sekolah boleh meletakkan sebarang bahan bacaan yang bermanfaat untuk murid - murid di setiap sudut bangunan sekolah yang selalu dikunjungi oleh para pelajar. Kemudian, pihak sekolah menamakan sudut - sudut itu sebagai perpustakaan mini dan menghias sudut - sudut tersebut sehingga menarik perhatian para pelajar.

     Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mewujudkan sebuah program iaitu program Nadi Ilmu Amalan Membaca ( NILAM ) di setiap sekolah seluruh negara. Program ini bertujuan untuk memupuk amalan membaca dalam diri setiap pelajar. Di samping itu, pihak sekolah boleh memanfaatkan peluang ini untuk menegaskan kepada para pelajar supaya menghantar buku rekod NILAM ke perpustakaan pada setiap bulan. Pihak sekolah juga digalakkan untuk memberi penghargaan kepada para pelajar yang mampu mencatat bacaan buku yang dibaca yang tertinggi pada setiap bulan. Hal ini akan menggalakkan lagi para pelajar untuk membaca di samping menuntut ilmu pengetahuan.

     Seterusnya, pihak sekolah juga boleh mengadakan kempen galakan membaca semasa sesi persekolahan. Pihak sekolah boleh mengadakan program " Hari Membaca " pada setiap sekali seminggu. Hal ini dapat menggalakkan lagi pembacaan para pelajar di sekolah sambil dipantau oleh guru - guru.

     Konklusinya, amalan membaca merupakan satu amalan yang digalakkan untuk dijadikan hobi dalam kehidupan seharian. Kita dapat menimba ilmu pengetahuan secara berterusan dan tidak akan dikatakan " bagai katak di bawah tempurung ".

7 ulasan: