Isnin, 14 November 2016

KARANGAN BERDASARKAN GAMBAR RAJAH

Berdasarkan gambar rajah di bawah, huraikan pendapat anda tentang cara - cara mendidik generasi muda beradab sopan terhadap orang lain. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 

     Apabila majalah Reader's Digest menyiarkan hasil tinjauannya yang menunjukkan Malaysia merupakan negara ketiga paling kurang berbudi bahasa, banyak orang yang melenting. Persoalannya, mengapakah adab sopan dan budi bahasa kian terhakis dalam kalangan masyarakat kita, terutamanya dalam kalangan generasi muda ? Apakah pula cara - cara untuk mendidik generasi muda agar beradab sopan terhadap orang lain ?

     Sopan santun dan budi bahasa bukanlah dapat diwarisi, sebaliknya dipelajari dan dijadikan amalan seharian. Ibu bapa perlulah mendidik anak - anak bertutur dengan baik dan bersopan santun dengan sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Sekiranya generasi muda terdedah dengan bahasa yang kasar, mereka akan menganggap perkara itu normal dan boleh diamalkan. Bahasa menunjukkan bangsa, oleh itu kita haruslah menggunakan bahasa yang lembut dan sopan sebagai amalan dalam kehidupan kita.

     Selain itu, sopan santun juga dapat dilihat melalui perlakuan kita. Sikap membantu orang lain menggambarkan sikap masyarakat kita yang menghormati orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Ketika berada di dalam pengangkutan awam, didiklah anak - anak kita agar lebih prihatin terhadap orang lain yang lebih memerlukan tempat duduk, seperti warga emas dan ibu mengandung. Jika ada orang yang memberikan kita tempat duduk, wajarlah kita mengucapkan terima kasih, bak kata pepatah, " orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa ".

     Di samping itu, adab makan dan minum janganlah diabaikan. Ketika di meja makan, ibu bapa haruslah mengingatkan anak - anak agar tidak gelojoh ketika makan dan mengambil makanan supaya amalan tersebut tidak menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Ingatkan anak - anak juga bahawa kita sebenarnya " makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan ". Bagi masyarakat beragama Islam, amalkan pembacaan doa sebelum dan selepas makan agar rezeki yang dinikmati itu lebih berkat. 

     Tuntasnya, anak - anak laksana kain putih. Oleh itu, ibu bapa, guru dan masyarakat amat penting dalam mendidik generasi muda dengan adab sopan agar hasrat untuk melahirkan modal insan yang berteraskan Islam Hadhari tercapai.
 

1 ulasan: